Kedai buku terpakai pertama
Antara koleksi bahan bacaan terpakai yang dijual di YgLain Enterprise.
Kedai buku terpakai pertama
Amran Salleh



























MERSING - “Setiap buku mempunyai ilmu dan petua tersendiri, jika sekadar disimpan dalam almari dan tidak dikongsi ia akan jadi sia-sia”.

Bait ayat yang dibaca dalam laman sosial membuatkan hati pemilik YgLain Enterprise, Amran Salleh, 45, tersentuh dan nekad membuka kedai buku dan majalah terpakai yang terletak di terminal bas di daerah ini.

Terletak di lokasi strategik, membolehkan orang ramai termasuk pelancong yang menunggu bas atau teksi memanfaatkan masa dengan membaca bahan bacaan yang dijual.

Menurutnya, minat terhadap bahan penulisan ini lahir sejak zaman sekolah lagi apabila dia mula menyimpan koleksi novel, komik, dan majalah yang dibeli.

“Selain menjual buku koleksi peribadi, kebanyakan novel dan majalah yang dijual merupakan sumbangan orang ramai dan ada di antaranya yang baru dibeli.

“Memang pada mulanya terbit rasa sayang untuk menjual koleksi simpanan, tetapi niat untuk berkongsi ilmu  dengan orang lain, saya rela menjualnya”, katanya kepada  Sinar Harian.

Amran berkata, kedai yang baru beroperasi awal bulan ini adalah yang pertama menjual buku terpakai di daerah tersebut.

Jelasnya, walaupun masih baru dibuka, penjualan buku terpakai ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya mempunyai koleksi jualan sebanyak 200 buku antaranya koleksi penulis novel, Eyman Hykal, Aleya Sofea, Ramlee Awang Murshid, dan Norzailina Nordin,” katanya.

Ketika ditanya mengenai strategi pemasaran, Amran berkata, dia menggunakan laman sosial Facebook untuk membantu melancarkan proses penjualan bukunya.

Menurutnya, kedainya menawarkan perkhidmatan mengepos buku di seluruh negara ini.

“Selain itu, kami juga membeli novel terpakai dengan separuh harga daripada kenalan yang ingin menjual koleksi peribadi masing- masing,” katanya.

Jelasnya, dia berimpian untuk mengetengahkan identiti Mersing kepada pelancong luar yang datang ke sini dengan menghasilkan barang kraftangan melambangkan produk
Mersing seperti baju, alat perhiasan dan rantai kunci.

Tambahnya, ia masih dalam perancangan dan berharap dengan cara ini dia dapat membantu meningkatkan ekonomi sektor pelancongan memperkenalkan Mersing kepada masyarakat luar.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kedai-buku-terpakai-pertama-1.104578)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.